Mangsa Utusan Malaysia

Perdana Menteri Najib Abdul Razak telah menggariskan konsep “1Malaysia” sebagai “pedoman” pemerintahannya setelah mengambil alih tampuk kerajaan. Empat bulan berlalu, selain “Amanah Saham 1Malaysia” yang menjadi rebutan ramai, pendekatan yang lain tidak begitu memberangsangkan.

Sejak 8 Mac 2008, lidah UMNO, Utusan Malaysia dengan tajuk yang sensasi, mereka ilusi ketegangan hubungan kaum. Malah, akhbar ini cuba menangguk di air keruh, memperbesar dan mengapi-apikan kontradiksi di kalangan parti komponen Pakatan Rakyat. Perselisihan diperhangatkan melalui sentimen perkauman dan agama yang tersurat dan tersirat di dalam ayat.

Seandainya Najib ikhlas dengan konsep “1Malaysia”nya, mengapa dibiarkan akhbar bahasa Melayu yang bertunjangkan Utusan Malaysia ini untuk mengalih fokus pembaca, sehingga semua isu diputar-belitkan menjadi isu perkauman dan agama?

Talam dua muka

Pada hakikatnya, UMNO telah biasa dengan mainan talam bermuka dua. Kerajaan yang diterajui Mahathir Mohamad pada tahun 1990-an, telah mengutarakan konsep Wawasan 2020 dan Bangsa Malaysia. Media arus perdana yang berbahasa Melayu, dari akhbar, majalah, stesen radio sehinggalah televisyen, penuh sarat dengan perbincangan idea “Melayu Baru”.

Malah, Universiti Kebangsaan Malaysia yang menjadi pusat penyelidikan bangsa Melayu ketika itu, telah mencadangkan agar definisi orang Melayu diperluaskan kepada pri-bumi di Indo-China dan kepulauan selatan Taiwan. Ini bertujuan untuk menunjukkan bahawa bangsa Melayu tidak lemah, malah mempunyai sejarah yang panjang, cukup untuk menandingi bangsa lain.

Hujah yang sedemikian tidak kurang konservatif dengan konsep “Keagungan China” (Greater China), malah tidak memberi sebarang manfaat untuk masyarakat yang berbilang kaum. Namun, hujah sedemikian diulangi dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 1993, tanpa mempertimbangkan perasaan kaum yang lain. Sememangnya pemimpin dari “pasukan Wawasan”, Anwar Ibrahim, Najib dan Muhyiddin Yassin yang menjatuhkan Ghafar Baba ketika itu, perlu memikul tanggungjawab kerana mencetus keadaan sedemikian. Matlamat mereka amat jelas, bangsa Melayu semestinya mengatasi bangsa Malaysia, kerana itulah asas dan punca kuasa.

Jadi, apabila Najib cuba menonjolkan dirinya sebagai “Perdana Menteri untuk semua”, beliau tidak melepaskan statusnya sebagai pemimpin orang Melayu. UMNO sebagai parti terbesar dalam Barisan Nasional, adalah nadi kuasa politik Najib. Justeru itu, tindakan membenarkan Utusan Malaysia untuk terus memperbodohkan rakyat di akar umbi, telah menjadi satu kemestian.

(Sebaliknya, sama ada Ong Tee Keat, Chua Soi Lek, Koh Tsu Koon, Kayveas atau Samy Vellu, mereka sekadar pemimpin untuk kaum masing-masing. Tidak ramai orang Melayu, sama ada dari UMNO mahupun penyokong PR melihat mereka sebagai “pemimpin negara”. Kewujudan mereka hanyalah sebagai hiasan BN.)

Presiden UMNO penentu Utusan Malaysia

Biar kita mengimbas hujah berkenaan “kebebasan media” oleh Najib selepas menjawat Perdana Menteri. Ketika berucap di Majlis Malam Wartawan Malaysia 2008 anjuran Institut Akhbar Malaysia pada 6 April 2009, beliau berkata, “Kita memerlukan bentuk laporan media yang bertaraf dunia dengan melaporkan berita berasaskan fakta. Media mesti berlaku adil dan bertanggungjawab dalam melaporkan sesuatu berita. Adalah amat mustahak untuk media menyuburkan perdebatan yang konstruktif mengenai masa depan negara. Saya percaya kita boleh melangkaui pemberitaan yang menawarkan khabar angin dan teori konspirasi. ”

Hujah ini dipaparkan dalam dada akhbar arus perdana, malah ramai yang tidak sabar-sabar untuk menyolekkan imej Najib. Namun, sebagai pimpinan tertinggi UMNO, Najib yang menguasai media cetak dan media elektronik, mustahil untuk tidak menyedari bahawa apa yang dilakukan Utusan Malaysia bercanggah dengan matlamat “media bertaraf antarabangsa”.

Tetapi, Najib memilih untuk mendiamkan diri, memainkan peranan sebagai “muka putih”; sebaliknya timbalannya Muhyiddin Yassin yang berada di barisan depan, memainkan peranan sebagai “muka hitam”, memperlekehkan soalan wartawan dengan jawapan bahawa Utusan Malaysia mempunyai kebebasan untuk memberi pandangan.

Realitinya, Presiden UMNO berkuasa menentukan halatuju wacana dalam Utusan Malaysia. Penentang penjajah, Shamsiah Fakeh dalam memoir beliau “Dari AWAS ke Rejimen ke-10”, beberapa kali menceritakan bagaimana Utusan Malaysia memfitnah beliau dan rakan seperjuangan beliau sebagai pengganas.

Tetapi apabila Mahathir Mohamad mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar untuk membenarkan Shamsiah Fakeh dan keluarganya pulang ke tanahair, perspektif media cetak beralih dengan segera, malah menyiarkan seruan tentera dan polis bersara agar masyarakat tidak bermusuh kepada bekas pejuang evolusi. Jikalau dibandingkan dengan isu Chin Peng pulang ke tanah air baru-baru ini, agak jelas siapa dalang di sebaliknya.

Seandainya pengamal media yang fasih dengan sejarah politik negara tidak memahami segala-gala ini, maka mereka tidak berkelayakan untuk menyandang jawatan tinggi dalam institusi media.

Melayu Mangsa Pergelutan UMNO-PAS

Pada hakikatnya, UMNO telah memonopoli saluran maklumat orang Melayu, mencuba sedaya upaya untuk mengawal minda masyarakat Melayu, malah memaksa PAS ke pinggiran yang ektrem. Masyarakat Melayu telah menjadi mangsa terbesar dalam pergelutan dua parti Melayu yang konservatif ini. Beberapa tahun kebelakangan ini, negara ini dilanda krisis politik berkali-kali, dan apabila Utusan Malaysia memburuk-burukan pemimpin Melayu yang membantah UMNO, bukankah media arus perdana bahasa Cina juga berpeluk tubuh?

Kini, Utusan Malaysia telah melampaui batas. Sin Chew Daily secara tiba-tiba menyerang balik, bukan kerana apa tetapi sekadar pertimbangan untuk menjaga “pasaran orang Cina”. Namun, Sin Chew Daily yang mengampu Najib sebelumnya, kini menjadi serba salah. Akhirnya, mereka hanya berani melemparkan kritikan terhadap Utusan Malaysia, namun tidak berani menuding jari terhadap Najib. Inilah yang paling memilukan buat akhbar Cina.

*Artikel ini ditulis oleh Josh Hong, penganalisa politik. Diterjemah dan disunting Lim Hong Siang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s