Ketelusan e-undi terus dipertikaikan

Abdul Rahim Sabri (Malaysiakini)
Jan 2, 10
12:34pm

Umumnya ketiga-tiga pemforum dalam majlis forum “E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus” di Universiti Malaya (UM) malam tadi mempersoalkan ketelusan dalam perlaksanaan pengundian secara elektronik (e-voting).

Mereka tidak menolak secara total sistem tersebut tetapi mempersoalkan kepercayaan pelaksanaan sistem tersebut yang “diragui dan boleh dimanipulasikan”.

Ini kerana ia tersebut dikawal oleh pihak pentadbiran universiti terutama dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM.

Ahli penal tersebut, Pengerusi Pro-Mahasiswa (Pro-M) Nasional Mohd Shafie Hashim (kanan) berkata mahasiswa khususnya di UM mempersoalkan integriti sistem e-undi yang merupakan satu perisian yang khas yang bangunkan untuk memudahkan proses pengundian dan pengiraan undi.

Katanya, pelaksanaan undi secara berkomputer “tidak patut” dilaksanakan di Universiti Malaya (UM).

“Mahasiswa tidak membantah sistem perlaksanaan e-undi, kerana kita tidak mampu untuk membahas tentang perisian dan kita tidak mempunyai kepakaran.

“Yang kita persoalkan adalah intergriti sistem tersebut, kerana sistem tersebut sudah tentu dikawal oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP),” katanya bagi memulakan forum tersebut.

Mohd Shafie berkata perisian khas yang diperkenalkan untuk perlaksanaan sistem itu telah menyebabkan mereka mempersoalkan tahap ketelusan sistem tersebut boleh diragui.

Menurut Mohd Shafie lagi berdasarkan maklum balas dari pihak pentabdiran UM, mereka menjelaskan terdapat tiga rasional menggunakan sistem tersebut, antaranya, untuk memudahkan gerak kerja pentadbiran dan menjimatkan masa pengiraan undi yang sebelum ini memakan masa yang terlalu lama.

Beliau berkata, sekiranya, pihak pentadbiran melaksanakan e-undi dengan alasan untuk memudahkan kerja, maka lebih baik menyerahkan tugas tersebut kepada mahasiswa untuk melaksanakannya.

“Serah kepada pelajar sebagai SPR kampus, untuk memudahkan perlaksanaan e-undi… kita tidak menolak ICT, tapi kita soal intergriti lebih penting,” katanya

Menurutnya lagi, pentadbiran UM tidak mendapatkan pandangan mahasiswa berhubung keputusan untuk melaksanakan sistem tersebut dalam pilihan raya kampus kali ini.

“Padangan mahasiswa tidak diambil kira. Ini adalah satu bentuk diskriminasi dalam perlaksanaan perkara baru dalam pilihan raya kampus di UM,” katanya yang diminta mengulas kebaikan dan keburukan sistem tersebut.

Selain itu, beliau turut mendedahkan kelemahan sistem itu kerana wakil calon tidak diberi peluang untuk melihat perjalanan pengundian itu berlangsung.

Padangan Mohd Shafie kemudiannya disokong oleh ADUN Teja Chang Lih Kang (kanan) yang menjadi ahli panel kedua forum tersebut.

Katanya, beliau bersetuju dengan sistem e-undi sekiranya ia membawa kebaikan dalam proses pendemokrasian dalam kampus di universiti.

Bagaimanapun, seperti Mohd Hashim, Chang turut mempertikaikan tahap ketelusan sistem tersebut sekiranya tidak mempunyai ‘semak dan imbang’ dalam proses pengundian dan pengiraan undi.

“Bagaimana kita boleh tentukan kertas undi yang dipangkah itu dapat dikira sebagai undi atau pun tidak. Kita tidak tahu. Bagaimana satu undi dikira dan perlunya ada semak dan imbang,” katanya.

Dengan memberi contoh pengalamannya sebagai bekas aktivis mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2003, Chang berkata sistem e-undi diperkenalkan di kampus UPM pada tahun tersebut.

“Sebelum itu, empat lima tahun sebelum itu, kami menang besar. Dari 48 kerusi yang dipertandingkan kami menang lebih daripada 35 kerusi. Tetapi pada 2003, terus berubah, proaspirasi menang,” katanya.

Katanya pada tahun itu seorang calon pro-M yang bertanding di Kolej Veterinar, hanya memperolehi satu undi.

Perkara itu tidak mungkin berlaku kerana sekurang-kurangnya calon mendapat tiga termasuk melalui sokongan pencadang dan penyokongnya, tambahnya.

“Selepas disemak semula, bukan dapat satu undi tapi 81 undi. Jadi sistem ini tidak ada semak dan imbang. Penyelewangan boleh berlaku,” katanya.

Bagaimanapun katanya terdapat negara yang mengamalkan e-undi antaranya seperti di Kanada, Brazil, India dan Perancis yang memberikan kebaikan kepada mereka.

“Tapi orang yang mengendalikan, kena ada kredibiliti. HEP ada tak?” soalnya kepada para hadirin.

“Kamu pikirlah sendiri,” katanya disambut gelak ketawa para hadirin.

Tambahnya, beliau menggesa agar perlunya satu “padang yang sama rata” untuk memastikan ketelusan perlaksanaan sistem tersebut.

“Bukan soal menang atau kalah kerana menang bukan tradisi, kalah bukan boleh diwarisi. Ia boleh berlaku manipulasi,” katanya sambil diiringi tepukan gemuruh hadirin.

Sehubungan itu beliau mencadangkan kepada pihak pentadbir universiti khususnya UM agar tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan sistem ini.

“Universiti mungkin ada niat yang bagus, tapi ada niat mesti dibawa bincang, tak boleh buat tergesa-gesa. Niat baik kita kena bincang, dapatkan konsesus terlebih dahulu kemudian laksanakan.

“Dapatkan persetujuan dari kedua-dua belah pihak. Kalau seorang sahaja bersetuju, kena tangguhlah perlaksanaannya,” katanya.

Beliau mencadangkan agar menggunakan kaedah pengundian ‘sentuh skrin’, iaitu sistem pengundian elektronik menyentuh skrin dan ia dikira sebagai undi.

Pada masa yang sama, katanya, undian tersebut akan direkodkan oleh ‘server’ dan kertas undi akan dicetak yang telah ditanda pangkah akan keluar dan seterusnya dimasukkan ke dalam kotak.

Katanya, ini membolehkan calon membuat semakan terhadap jumlah kertas undi yang diperolehinya, sekiranya terdapat kesilapan pada pengiraan e-undi.

“Ini adalah salah satu daripada cara untuk mewujudkan demokrasi di dalam pilihan raya kampus,” katanya.

Sementara itu, pengerusi SMM Shazni Munir Mohd Ithnin (kanan) yang menggantikan Dr Abdul Aziz Bari berkata sistem demokrasi yang digunapakai pada hari ini adalah dari pengamalan Yunani sejak abad 5 sebelum masihi.

Katanya, tahap permahaman terhadap demokrasi umumnya di kalangan rakyat Malaysia amat menyedihkan.

“Kita masih tidak boleh kenal demokrasi. Dari kecil hingga besar kita tidak dididik dengan demokrasi,” katanya.

Tegasnya, demokrasi secara asasnya adalah kuasa rakyat untuk menentukan bentuk pemerintahan yang diingini.

Beliau berkata, setahunya tidak ada negara yang mengamalkan amalan demokrasi sepenuhnya, sebab banyak elemen termasuk pemilihan presiden, sehinggakan terdapat presiden yang dipilih, cuba mempengaruhi keputusan yang telah dibuat.

“(Jadi) bagaimana kita boleh yakin dengan demokrasi di kampus, hanya sekadar membantah dengan memangkah di kertas undi?” soal Shazni Munir.

Menurutnya, mahasiswa tidak mempunyai masalah dengan kecanggihan teknologi tetapi beliau tidak mahu melihat teknologi itu menggangu perjalanan demokrasi di kampus.

“Kita tidak ada masalah dengan teknologi, tapi teknologi kena ikut demokrasi, bukan demokrasi kena ikut teknologi. Teknologi kena duduk di bawah demokrasi,” katanya.

Forum tersebut anjuran Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, berlangsung selama satu jam setengah mulai jam 9.45 malam.

Walaupun menerima banyak tekanan dan halangan, pihak penganjur berjaya melaksanakan forum tersebut yang dihadiri lebih 200 pelajar daripada beberapa kampus utama di Lembah Klang antaranya Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Pensyarah terkenal Dr Abdul Aziz Bari yang merancang untuk menghadiri forum tersebut terpaksa membatalkan hasratnya kerana dikatakan menerima surat amaran daripada pentadbiran UIA.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s