ISA: Isteri Sedih Suami Diseksa di Kemta

Harakah

Isteri kepada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Razali Kassan sedih dan kecewa apabila suaminya diseksa di Kem Tahanan Kamunting (Kemta) walaupun ahli keluarga mengikut arahan pihak berkuasa sebelum ini.

Nunurheni Onim berkata, sebelum ini beliau dan ahli keluarga yang lain tidak bercerita mengenai penahanan suaminya kepada mana-mana pihak kerana berpegang kepada janji pihak polis.

Pihak polis Bukit Aman katanya melarang beliau menghebahkan penahanan suaminya di bawah ISA kepada media, peguam atau badan bukan kerajaan (NGO) jika mahu Razali dibebaskan segera.

“Sebelum ini saya diarahkan oleh pihak polis untuk tidak bercerita kepada peguam atau mana-mana pihak.

“Mereka kata kalau saya tak hebahkan penahanan suami saya kepada sesiapa, suami saya tidak akan diapa-apakan. Saya pegang janji mereka tapi sekarang suami saya belum dibebaskan malah dipukul dengan teruk,” adu beliau di hadapan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Muhammad Sha’ani Abdullah.

Nunurheni hadir bersama-sama Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) ke Suhakam hari ini bagi menyerahkan memorandum mengenai seksaan pihak Kemta terhadap tahanan yang melakukan mogok lapar, menuntut pembebasan segera.

Dalam aduan kepada Suhakam tadi, Sekretariat GMI, Syukri Razab berkata, seorang lagi tahanan, Mustawan Ahbab menceritakan bahawa Razali ditumbuk, diterajang dan diludah di muka oleh pegawai Kemta kerana melancarkan mogok lapar dan menyusahkan warden Kemta.

Menurutnya, Razali tetap dikasari oleh pegawai Kemta meskipun beliau seorang tahanan yang baik dan tidak melawan.

Memorandum itu selepas GMI mengiringi lawatan tiga keluarga tahanan ISA di Kemta semalam.

Selain isteri Razali, isteri kepada Mustawan Ahbab, Khairunizah Mohd Akhir dan juga bapa kepada Fadzullah, Abdul Razak Mohd serta isteri tahanan warga Sri Lanka, Anthony turut menyertai lawatan tersebut.

Razali kelihatan lemah dan mengakui dipukul dalam pertemuan tersebut.

Sementara itu, Khairunizah dalam aduannya pula memberitahu, tempoh pertemuan beliau dan Mustawan dipendekkan daripada satu jam kepada 25 minit sebagai denda kerana Mustawan membocorkan maklumat tahanan kepada beliau melalui telefon.

“Dalam kad kuning Kemta, saya boleh bertemu selama 45 minit dan kalau memaklumkan awal kepada pihak Kemta, boleh berjumpa sejam. Tapi bermula semalam, saya hanya dibenarkan bertemu selama 25 minit sahaja sebagai denda kepada Mustawan. Tak berbaloi saya datang dari jauh untuk pertemuan sesingkat itu,” katanya.

Tempoh pertemuan keluarga dan tahanan yang mogok lapar juga turut dipendekkan dari satu jam kepada setengah jam.

Suhakam atur lawatan ke Kemta

Sha’ani dalam responsnya berkata, pihak Suhakam akan mengatur lawatan segera ke Kemta dan membawa doktor bagi memeriksa keadaan tahanan khususnya peserta mogok lapar yang masuk hari ke-12.

“Suhakam memandang berat kes pihak berkuasa mengenakan tindakan di luar batasan kepada tahanan. Mogok lapar dilakukan oleh pihak yang ditindas, yang tidak diberi peluang membela diri di mahkamah.

“Warden kata tindakan mogok lapar menyuahkan mereka, kalau susah jangan jadi warden. Itu tanggungjawab warden, bukan guna kuasa untuk tekan orang di bawah. Mereka harus menghormati hak asasi tahanan sebagai manusia,” katanya.

Tegasnya juga, kerajaan seharusnya menghormati semua pihak termasuk peguam yang menjalankan tugas mereka.

“Kerajaan seharusnya menghormati pihak lain termasuk peguam. Pegawai Kemta pula harus bersikap berkecuali, hormati hak tahanan bertemu keluarga dan peguam,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s