Kenapa kerajaan tidak wajar naikkan harga minyak? – Chang Lih Kang

Bersembunyi di belakang topeng “konsolidasi fiskal”, “penyelarasan subsidi”, “rasionalisasi subsidi” dan terma lain, kerajaan Barisan Nasional (BN) menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, iaitu kira-kira 11% daripada harga asal.

Antara alasan pentadbiran Najib Tun Razak adalah pengurangan subsidi akan mengukuhkan asas ekonomi negara, memperbetulkan sistem subsidi sekarang yang tidak berkesan, dan menjimat wang sebanyak RM3.3 billion (ribu juta) setahun.

Sekiranya kita meneliti keadaan ekonomi negara kita, tidak dapat dinafikan bahawa ekonomi sekarang berada dalam keadaan yang genting. Nilai matawang kita jatuh merundum sebanyak 7.9% pada tahun ini. Agensi penarafan kewangan antarabangsa, Fitch Ratings, menurun-tarafkan prospek ekonomi negara kita dari “stabil” kepada “negatif”.

Hutang negara kita berada di tahap yang kritikal, iaitu 53% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang juga merupakan kedudukan hutang negara yang tertinggi sejak kemerdekaan. Had pinjaman yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan hanyalah 55% daripada KDNK, dan kini kita sudah mencecah 53%.

Dalam siaran akhbar yang bertarikh 21hb Ogos 2013, Bank Negara menyemak semula jangkaan pertumbuhan ekonomi negara kita dan turunkan jangkaan kadar pertumbuhan dari 5% hingga 6% kepada 4.5% hingga 5%.

Semua fenomena di atas menunjukkan ekonomi negara kita memang perlu diperkasakan dengan kadar segera.

Rasuah sebab utama asas ekonomi rapuh

Namun, sementara kita mengakui keperluan untuk mengukuhkan asas ekonomi negara, kita perlu sedar bahawa sebab utama asas ekonomi kita rapuh adalah kerana rasuah dan penyelewengan yang berleluasa. Berbanding dengan subsidi yang diberikan kepada rakyat jelata, wang yang diselewengkan oleh Barisan Nasional jauh lebih banyak.

Skandal demi skandal dibongkarkan, namun wang yang diseleweng sering tidak dipulihkan. Antaranya projek bela lembu bernilai RM250 juta diberikan kepada syarikat suami seorang menteri, RM493 juta dibayar kepada kroni pemimpin negara sebagai komisen dalam pembelian kapal selam, skandal Perwaja yang bernilai RM10 billion, skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang bernilai RM12.5 billion dan lain-lain.

Selain itu, menurut laporan Global Financial Integrity (GFI), sebuah pertubuhan antarabangsa yang memantau aliran keluar wang haram negara-negara sedunia, Malaysia menduduki tempat ketiga dalam aliran wang haram sedunia dalam tempoh 10 tahun (2001 – 2010). Jumlah wang haram yang mengalir keluar dari Malaysia dalam tempoh 10 tahun tersebut mencecah RM871 billion!

Kerajaan dikatakan dapat menjimat RM3.3 billion setahun dengan kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen. Namun jika kita pulihkan R 871 billion wang haram yang dialir ke luar negara, kita tidak perlu naikkan harga minyak, malah dapat kurangkan lagi harga minyak tanpa mengambil kira harga pasaran sedunia.

Oleh itu, keutamaan harus diberikan kepada usaha membanteras rasuah dan penyelewengan demi memperbaiki asas ekonomi kita tetapi bukan menarik balik subsidi rakyat.

Subsidi untuk rakyat bukan faktor kelemahan ekonomi

Sebagai negara pengeluar minyak, pemberian subsidi minyak kepada rakyat sepatutnya tidak memberi banyak kesan kepada ekonomi negara. Apabila harga minyak pasaran sedunia naik mendadak, keuntungan negara kita juga akan melambung naik; apabila harga minyak pasaran sedunia turun, subsidi untuk rakyat juga akan menurun.

Lagipun, kerajaan sering naikkan harga minyak apabila harga minyak pasaran sedunia naik, tetapi harga tidak diturunkan apabila harga minyak pasaran sedunia menurun. Oleh itu, harga pasaran sedunia tidak harus menjadi alasan untuk menaikkan harga minyak di negara kita.

Selain itu, hujah yang sering dipakai oleh kerajaan Barisan Nasional untuk mengurangkan subsidi minyak adalah bahawa “sistem subsidi sesuatu yang akan memutar-belitkan (distort) ekonomi dengan menghantar mesej yang salah kepada pasaran. Sistem subsidi juga akan menyebabkan pengagihan sumber yang tidak tepat.”

Hujah ini sering digunakan sebagai “kebenaran mutlak” oleh kapitalis apabila mereka cuba campur tangan dalam ekonomi negara kita. Namun, sistem subsidi yang dikatakan akan “putar-belitkan” ekonomi ini diterima oleh kebanyakan negara barat atas nama “kepentingan negara”.

Amerika Syarikat, sebuah negara yang begitu yakin dengan amalan pasaran bebas, belanja kira-kira USD20 billion (RM65 billion) setahun untuk membantu industri pertanian mereka. Jika Amerika Syarikat sanggup memberi RM65 billion subsidi tahunan kepada petani mereka, kenapa kerajaan Barisan Nasional berkeras untuk menarik balik subsidi minyak yang hanya bernilai RM3.3 billion setahun?

Rakyat dimangsakan

Berbeza dengan negara lain, kerajaan BN tidak menyediakan alternatif murah seperti sistem pengangkutan awam yang efektif kepada rakyat apabila menaikkan harga minyak secara mendadak. Pada tahun 2008, apabila harga minyak dinaikkan sebanyak 41% (petrol) dan 63% (diesel), kerajaan jimat RM13.7 billion.

Wang tersebut dijanjikan akan diguna untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam. Namun, sehingga hari ini, rakyat tidak dapat merasai sebarang perubahan dalam sistem pengangkutan awam. Maka rakyat tiada pilihan lain, kecuali terpaksa menyerap semua kos kenaikan harga minyak.

Tambahan pula, harga komoditi dunia kini sedang mengalami kemerosotan. Fenomena ini memberi impak yang sangat besar kepada negara kita, kerana kehidupan ramai rakyat bergantung secara langsung pada harga komoditi, termasuk 112,635 orang peneroka FELDA dan pekebun kecil yang lain.

Apabila mereka mengalami kesukaran akibat kemerosotan harga komoditi, kerajaan memberi satu tamparan kepada mereka dengan kenaikan harga minyak. Ekoran kenaikan harga minyak, rakyat akan ditampar lagi dengan kenaikan harga pengangkutan, kenaikan harga letrik, kenaikan harga makanan dan pelbagai inflasi.

Justeru itu, Barisan Nasional harus menarik balik keputusan untuk menaikkan harga minyak demi kepentingan rakyat. Kenaikan harga minyak hanya boleh dijadikan pilihan sekiranya kerajaan berjaya dalam membanteras rasuah, menutup pengaliran wang haram, menyediakan sistem pengangkutan awam yang berkesan pada harga berpatutan, dan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh.

* Penulis ialah Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan dan Adun Teja, Perak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s