Image

BR1M tidak cukup menampung kos kehidupan

BR1M tidak cukup menampung kos kehidupan

ADUN Teja Chang Lih Kang mengatakan bahawa pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) tidak cukup menampung kos kehidupan memandangkan harga barang melambung tinggi berikutan subsidi dimansuhkan.

“Apabila subsidi gula dimansuhkan dan subsidi minyak masak dikurangkan, yang rugi dan terus dibebankan adalah rakyat.” Katanya semasa penyampaian sumbangan kepada miskin tegar di kawasan DUN Teja. Lih Kang bersama Ahli Parlimen Gopeng Dr. Lee Boon Chye telah menyampaikan sumbangan Sempena Hari Deepavali.

Sumbangan berupa barang runcit dan makanan tersebut disampaikan kepada 65 keluarga bagi meringankan beban penerima masyarakat India agar turut sama merasai kemeriahan Deepavali yang disambut pada 3hb November.

Lih Kang sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat berkata, walaupun kerajaan BN telah mengumumkan kenaikan pemberian BR1M dari RM500 kepada RM650. Akan tetapi, jumlah ini jauh berbeza dengan janji kerajaan BN pada PRU-13 yang lalu untuk kenaikan BR1M untuk setiap isirumah kepada RM1200. Begitu juga hanya RM300 diberi kepada warga bujang yang sebelum ini dijanjikan untuk dinaikkan dari RM 250 kepada RM 600.

Tambah beliau, setiap isirumah yang menerima BR1M sebanyak RM650 bermakna setiap hari penerima hanya mendapat bantuan tidak sampai RM2 daripada kerajaan.

Menurutnya, sikap boros berbelanja kerajaan BN telah menyebabkan negara kita mengalami permasalahan defisit negara yang telah kekal lama semenjak PRU-12 yang lalu. Katanya, kerajaan yang prihatin haruslah mendahulukan kepentingan rakyat serta telus dan cekap dalam pengurusan kewangan negara.

Leave a comment